Sinar Harian 14.09.2011

Prema Yin belum mengalah

Baru tiga tahun dalam industri, Prema Yin, akur dengan dugaan bergelar anak seni. Ironinya bukan senang untuk mendaki ke puncak populariti. Namun, anak gadis kacukan Cina-India ini, dia tidak kisah jika perlu bermula dari bawah sekalipun.

Meskipun Prema dinobatkan sebagai juara, Who Will Win Malaysian Topstar (WWWMT) tujuh tahun lalu, tetapi ia bukan laluan mudah buatnya untuk dikenali peminat industri tempatan.

“Saya mula menyanyi sejak berusia sembilan tahun lagi. Selepas memenangi WWWMT, saya memberi tumpuan terhadap pelajaran dan kembali serius dalam industri ini sejak tiga tahun lalu. Lagi pun bidang muzik merupakan minat utama saya sejak kecil,” katanya kepada Zass.

Biarpun masih baru, Prema tidak terlepas daripada menjadi mangsa kontroversi, gara-gara aksi beraninya dalam klip video singlenya, Marilah bersama pelakon Shahz Jaszle baru-baru ini.

“Saya akui, selepas klip video tersebut mendapat perhatian, saya mula dikenali. Ada yang mengkritik dan ada juga yang memberi nasihat. Saya pula seorang yang bersikap positif. Jadi segala isu yang timbul, saya tidak mahu persoalkan atau cuba bertegang urat kerana masing-masing ada pendapat sendiri.

“Saya hanya mengikut konsep klip video terbabit yang menceritakan tentang masalah rumah tangga, tentang hubungan suami isterinya. Sejujurnya saya bukan mahu melanggar norma masyarakat timur dengan beraksi ghairah seperti itu, jika ada pihak tidak menyukainya, saya mohon maaf,” katanya yang tidak takut menerima cemuhan.

Dapat tempat di pentas antarabangsa

Biar pun kurang dikenali di negara sendiri, Prema dianggap cukup beruntung kerana mendapat tempat yang cukup baik di pentas antarabangsa.

Buktinya, gadis berusia 25 tahun ini sudah beberapa kali mendapat undangan persembahan di luar negara dan mendapat pencalonan untuk Hollywood Music In Media Award, baru-baru ini.

“Saya tidak kecewa dengan publisiti yang kurang diraih di negara sendiri, mungkin tuah saya belum tiba.

“Namun, saya lega kerana bakat saya dipandang di luar negara. Sekitar November ini saya akan terbang ke Los Angeles untuk kerja produksi dan beberapa projek.

Saya tidak mahu dedahkan projek apa kerana semuanya masih dalam perbincangan.

“Jika ada rezeki dan masa, saya akan ke New York dan Kanada untuk beberapa persembahan. Namun semua itu masih lagi dalam perbincangan,” katanya.

Prema berkata, meskipun kurang dikenali, dia bersyukur kerana bakat dan karyanya diiktiraf kerana pernah mendapat pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik tahun lalu.

“Biarpun tidak memenangi anugerah, saya rasa cukup bertuah kerana tercalon dalam empat kategori. Bagi saya, pencalonan itu adalah pembakar semangat untuk saya terus menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini,” kata gadis periang ini.

Bergerak sendiri

Jika di awal kemunculannya, Prema sering diiringi kumpulan muziknya, Monday Nine. Kini dek kerana komitmen dan kesibukan dia lebih selesa untuk bergerak sendiri.

“Meskipun sebelum ini mereka sering mengiringi saya, tapi kini saya lebih selesa bergerak sendiri,” katanya.

Prema berkata, bagi peminat yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat dan melihat persembahannya, boleh datang ke Konsert Share The Love Movement pada 8 Oktober nanti.

“Saya rasa cukup bertuah kerana Julie’s memilih saya untuk menjayakan konsert mereka yang akan diadakan di Taylor University (Lake Side Campus).

“Bagi saya ini adalah salah satu peluang saya untuk mendekati pelajar dan peminat saya serta mempamerkan bakat kepada mereka,” katanya yang turut merakamkan sebuah single dalam album Share The Love untuk konsert tersebut.

Tidak terbatas pada bidang nyanyian, Prema mengakui mahu menceburi bidang lakonan dan pengacaraan jika diberi peluang.

“Bagi saya bidang nyanyian tetap nombor satu. Cuma jika diberi peluang untuk berlakon, saya teringin untuk berlakon dalam cerita yang bergenre komedi kerana ia sesuai dengan karakter saya yang aktif dan suka ketawa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *