myMetro: Strategi baru Prema

Strategi baru Prema

Oleh Norhayati Nordin

Empat tahun lalu, ketika bertemu dengannya pada majlis pelancaran album mini Eyo Eyo, Prema Yin kelihatan agak berisi. Namun, kini penyanyi lagu Marilah Menari yang klip videonya pernah mencetuskan kontroversi itu kelmarin, tampak jauh lebih langsing.

Bahkan, siapa sangka sudah 10 tahun gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini berjuang mengetengahkan genre muzik pop rock yang menjadi pilihannya kepada pendengar muzik tempatan.

Selesa bergerak secara indie, Prema nyata amat kreatif. Justeru, bagi menyusun langkah terkininya di persada muzik tanah air, penyanyi berusia 27 tahun ini tampil dengan strategi mantap yang sudah diatur.

Biarpun album mini terbarunya, Redefined akan diterbitkan tahun hadapan, namun sebagai permulaan Prema muncul melancarkan webisod rakaman membabitkan dia menghiburkan orang ramai di lokasi pilihan.

FotoPREMA makin langsing dan jelita.

Ditemui pada sidang media itu, Prema berkata dia mengambil langkah meluangkan masa berkunjung ke perkampungan Orang Asli Jentung, Sungkai, Perak, baru-baru ini adalah untuk mendekati masyarakat luar bandar.
Katanya, kemajuan yang semakin dirasai masyarakat Orang Asli sekarang membuatkan mereka tidak ketinggalan. Bahkan, golongan muda dan kanak-kanak Orang Asli juga arif dengan perkembangan muzik semasa.

“Biarpun tak lama berada di kampung itu, namun kehadiran saya diterima baik. Memang pengalaman sangat menyeronokkan dapat menghiburkan mereka, kerana setiap lagu dinyanyikan berjaya menghiburkan mereka.

“Malah, mereka (penduduk Orang Asli) juga meminta saya menyanyikan lagu Oppa Gangnam Style nyanyian Psy yang turut dimeriahkan dengan tarian tunggangan kuda popular itu,” katanya.

Menurut Prema lagi, dia nyata sama sekali tidak menyangka kunjungannya di kampung itu diterima baik penduduk. Ujar anak perempuan tunggal dalam lima adik beradik itu, ia begitu mengejutkan.

“Tak dinafikan, saya sebenarnya ada juga berasa risau mengenai bagaimana penerimaan masyarakat Orang Asli itu nanti. Apakah mereka menerima kehadiran saya dengan baik?

“Justeru, enggan terlalu memikirkannya saya nekad untuk melakukan rakaman ini kerana ia berbeza daripada kebanyakan persembahan yang sudah saya jayakan,” katanya.

Sehubungan itu, bagi orang ramai yang ingin menyaksikan pengalaman hebat dan bermakna Prema ini, bolehlah melayari laman web rasminya, www.premayin.com bermula semalam.

Prema atau nama sebenarnya Prema Yin Ranee Kali Kavandan ini turut memaklumkan dia merancang untuk menghasilkan 10 rakaman webisod di pelbagai lokasi terpilih untuk tatapan peminat muziknya.

Katanya selepas perkampungan Orang Asli itu, episod kedua yang menyusul ialah rakaman dibuatnya di stesen kereta api dan di dalam komuter laluan Kuala Lumpur ke Seremban.

“Rakaman di dalam komuter ini juga memberikan saya pengalaman yang sangat menarik kerana kebanyakan penumpang ditemui rata-rata berfikiran terbuka dan ada yang mengenali saya.

“Sekali lagi, saya memang tak sangka ada juga orang kenal siapa Prema Yin. Apatah lagi, sebelum itu ketika di kaunter tiket pun sebenarnya sudah ada yang mengenali saya,” katanya.

Berbicara pula mengenai album Redefined yang dijangka menemui peminat muzik tempatan pada tahun depan itu, Prema berkata sebanyak lima single baru akan dimuatkan.

Ujarnya, empat lagu adalah ciptaan sepenuhnya dia sendiri dan satu lagi single dihasilkan secara kerjasama bersama komposer lain. Apapun, akuinya album itu cukup memberikan kepuasan

“Jujur dikatakan, memang saya berasa sangat puas hati di dalam penghasilan album ini kerana empat daripada lima lagu dimuatkan adalah hasil ciptaan saya sendiri.

“Apa yang pasti, muzik diketengahkan adalah lahir dengan ikhlas di dalam hati ini. Oleh itu, semoga pendengar muzik tempatan boleh menerima dengan baik nanti,” katanya.

Memaklumkan semua yang dimuatkan di dalam album itu adalah mengikut konsep muziknya sendiri, antara lagu dimuatkan ialah 100%, Just with You (duet dengan Narmi), Second Best dan Ring My Bell.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/05

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *