Merdeka 2010 – Happy Birthday Malaysia! Harian Metro

Bangga jadi anak Malaysia

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

2010/08/31

HARI ini, Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-53. Malah, lebih istimewa lagi ia disambut pada Ramadan yang mulia. Apapun, dalam tempoh 53 tahun ini, banyak kemajuan sudah diraih termasuk pencapaian dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, pembangunan dan perdagangan.

BERSATU…Akim (kiri), Prema dan Jehan setuju Gagasan 1Malaysia. PREMA…menyokong saranan kerajaan. JEHAN…ada ramai kenalan 1Malaysia. AKIM…1Malaysia jaminan perpaduan.

BERSATU…Akim (kiri), Prema dan Jehan setuju Gagasan 1Malaysia.
Justeru, dengan tema 1Malaysia Menjana Tranformasi, diharap Malaysia lebih berjaya pada masa akan datang. Bagi memastikan segala misi dan matlamat ini menjadi kenyataan, perpaduan kaum menjadi keutamaan. Oleh itu, golongan muda kini memikul tanggungjawab untuk terus bersatu padu.

Cinta yang tinggi terhadap negara membuatkan semangat 1Malaysia dalam diri berkobar-kobar. Ia nyata dapat dilihat pada diri tiga artis popular tanah air. Siapa lagi, kalau bukan pelakon Jehan Miskin, penyanyi rock wanita bukan Melayu yang cukup dikenali dengan lagu Eyo Eyo, Prema Yin dan bintang Akademi Fantasia 7 (AF7), Akim.

Atas dasar semangat satu negara, tiga belia ini hadir menjayakan sesi fotografi diadakan, kelmarin. Jehan segak menggayakan pakaian batik, Prema cantik memperagakan sari dan Akim selesa berbaju Melayu. Apa yang pasti, semangat dan jiwa 1Malaysia terpahat kukuh di hati mereka.

Berkongsi pandangan mengenai Gagasan 1Malaysia, Jehan, Prema dan Akim menyokong baik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagi tiga anak muda ini, langkah dilakukan PM itu wajar bagi memastikan masa depan Malaysia terjamin dan keharmonian rakyat terpelihara.

Adalah penting sebuah negara memastikan rakyatnya hidup dalam keadaan sentiasa bersatu padu. Ditambah lagi, Malaysia sangat unik kerana rakyatnya pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Sehubungan itu, perpaduan kaum adalah sebahagian daripada tanda kejayaan negara.

Ikuti bicara lanjut Jehan, Prema dan Akim mengenai sema­ngat 1Malaysia mereka.
Apakah harapan mereka terhadap tanah air tercinta ini? Pastinya, apa diinginkan rakyat Malaysia ialah keharmonian negara. Hidup berbilang kaum dalam suasana gembira walaupun berlainan agama, bangsa dan budaya.

Jiwa Jehan 1Malaysia

DILAHIRKAN dalam keluarga campuran Melayu dan Cina, Mohd Jehan Miskin atau Jehan berkata, dia sudah biasa bergaul dengan masyarakat berbilang kaum. Ujarnya, sejak di alam persekolahan, dia sudah dibiasakan untuk menjalin hubungan persahabatan dengan kaum lain seperti Cina dan India.

Jujurnya, seronok mempu­nyai hubungan persahabatan dengan rakan pelbagai kaum ini kerana pergaulan tidak terbatas. Malah, masing-masing saling menghormati budaya dan agama antara satu sama lain. Justeru, tiada sebab untuk bermusuh kerana lahir dan dibesarkan dalam satu negara.

“Apa yang seronoknya hidup berbilang kaum ini, semua perayaan dirai bersama. Tidak kisah sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas, semuanya disambut meriah. Malah, saya sendiri tetap akan menerima angpau sekiranya berkunjung ke rumah rakan berbangsa Cina pada Tahun Baru Cina.

“Oleh itu, saranan Perdana Menteri untuk semangat 1Malaysia itu memang ada baiknya. Bahkan, sekarang memang masa yang sesuai mewujudkan 1Malaysia kerana tonggak kejayaan negara ini bergantung kepada semua kaum. Jadi, perpaduan sangat penting untuk menjana kejayaan berlipat ganda.

“Justeru, mewujudkan semangat 1Malaysia ini saya lihat sebagai percubaan kerajaan untuk menyatukan rakyat. Sebagai rakyat, saya bangga menjadi anak Malaysia. Malah, saya akui suka menilai seseorang berdasarkan dirinya sendiri dan bukan daripada perbezaan warna kulit, agama atau budaya yang mereka junjung,” katanya.

Berusia 31 tahun, Jehan berkata, sikap hormat menghormati sangat penting untuk mengelakkan perbalahan. Justeru, sekalipun untuk menyemarakkan semangat 1Malaysia ini tidak mudah dan besar cabarannya, tetapi kerajaan perlu melakukannya. Mujur ia mendapat sokongan yang baik.

Menurut Jehan, hidup dalam satu negara, rakyat tidak perlulah bergaduh. Hidup harmoni dan amalkan toleransi. Apapun, dia percaya rakyat Malaysia generasi baru kini sangat berfikiran terbuka. Antara satu sama lain, tentunya sangat sayangkan negara ini dan ingin ia terus berkembang maju.

Menyentuh mengenai kariernya, Jehan berkata, selain sibuk berlakon, dia juga bertanggungjawab kepada syarikatnya, Mastermind Group Sdn Bhd.

Katanya, baru menerbitkan satu telefilem, Buta Warna yang disiarkan di Astro Ria pada Julai lalu, tidak dinafikan maklum balas diterima sangat positif.

“Namun, kini syarikat saya sibuk mengendalikan program realiti berkaitan hartanah

di Internet iaitu starproperty.my., katanya.

Prema biasa bergaul pelbagai kaum

KEMUNCULANNYA

di persada seni tanah air boleh dianggap setahun jagung. Namun, menariknya gadis kacukan India dan Cina ini cukup selesa bekerjasama dengan rakan pelbagai kaum. Buktinya, apabila kumpulan muzik yang dinaunginya dianggotai berbilang bangsa dan agama.

Berusia 24 tahun, Prema Yin Ranee mengakui dia tiada masalah berkomunikasi, apatah lagi berganding bahu dengan ahli kumpulannya, Monday Nine. Ujarnya, apa yang penting, mereka sangat bertolak ansur dan saling menghormati. Maka, hingga kini tiada perbalahan.

“Justeru, saya selesa dengan 1Malaysia dan menyokong saranan kerajaan. Dalam soal ini, saya yakin jika saling memahami dan menghormat, pasti masing-masing selesa. Oleh itu, sempena kemerdekaan negara ini, saya harap rakyat Malaysia akan terus kekal bersatu padu dan hidup dalam aman damai.

“Bagi saya, perbezaan berlainan kaum, agama atau budaya tidak wujud sekiranya antara kaum tahu peranan mereka. Malah, dalam pergaulan semestinya dijaga supaya tiada sengketa. Sebagai warganegara Malaysia, saya yakin tanah air tercinta ini sangat disayangi rakyatnya,” kata Prema.

Menyentuh soal perkemba­ngan kariernya, Prema berkata, dia kini membuat persediaan untuk menyertai siri jelajah Jepun pada 13 hingga 20 September ini dalam Persidangan Kansai Muzik. Selain itu, ujarnya dia juga sibuk dengan undangan mengadakan persembahan majlis makan malam korporat.

“Apapun, kini saya juga terbabit dalam proses rakaman single baru, Belum Main-Main bersama Monday Nine. Terus terang, saya katakan seronok untuk merakamkan lagu ini kerana kami bekerja dalam kumpulan. Malah, ketika mengadakan persembahan pun, semangat dan tenaga diperoleh berbeza.

Ditanya mengenai pandangan terhadap industri seni tempatan, Prema berkata, memanglah kaum Melayu monopoli utama dan tak semestinya tidak boleh bersaing.
Katanya, bukti paling kuat ialah pencalonan diraihnya dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17), 2 Mei lalu.

Akim mahu erat perpaduan

SEKALIPUN usianya baru mencecah 19 tahun, namun fikiran anak muda ini cukup matang. Malah, apabila berbicara mengenai kemerdekaan negara, lagak Akim atau Afiq Hakim Ahmad seperti seorang pemimpin. Baginya, dia sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia yang hidup bersatu padu.

Malah, dia menerima dasar 1Malaysia dengan hati terbuka demi perpaduan antara kaum.

Katanya, dia tidak sangka dalam tempoh 53 tahun kemerdekaan ini, rakyat Malaysia cukup bersatu padu walaupun berlainan agama dan bangsa. Apa yang pasti, hubungan baik.

“Saya melihat, saranan kerajaan sampai kepada masyarakat. Sama ada Melayu, Cina dan India, semua menerima secara terbuka dan ia dapat dilihat di sekolah dan juga tempat bekerja. Kini, semua bangsa boleh bergaul di bawah satu bumbung dan itu menunjukkan satu kemakmuran yang positif.

“Seiring dengan semangat 1Malaysia, saya berasa sangat bertuah kerana menjadi seorang anak bangsa negara ini. Saya gembira kerana semua kaum dapat menerima antara satu sama lain tanpa perasaan tidak puas hati. Saya harap ketenteraman dan keharmonian Malaysia berkekalan selamanya.

“Sebagai generasi muda negara, saya akan bersama-sama kerajaan membantu merealisasikan kempen Gagasan 1Malaysia yang diinginkan Perdana Menteri. Bagi saya, perpaduan antara kaum perlu sentiasa erat kerana kemerdekaan negara ini dicapai bersama. Melayu, Cina dan India sentiasa berganding bahu,” katanya.

Padat dengan aktiviti seni dan sekarang menjayakan penggambaran drama Kau Dan Aku 2, Akim berkata, kisah dimuatkan dalam musim baru ini lebih menarik dan padat dengan kasih sayang kekeluargaan. Malah, paling seronok dia bergandingan bersama rakan akademinya, Hafiz dan Aril.

“Selain berlakon, saya juga akan sibuk dengan rakaman lagu. Malah, tidak lama lagi saya akan muncul dengan single baru, Janji hasil ciptaan sendiri.
Mengetengahkan irama pop, saya yakin lagu ini akan diterima baik pende­ngar dan ia cetusan idea saya. Semoga semuanya lancar.

“Malah, saya juga tidak gentar berhadapan persaingan dalam industri seni ini kerana melihat ia dari sudut positif. Bagi saya, ia satu persaingan yang sihat kepada artis baru dan lama. Apa yang penting, produk berkualiti kerana itulah kehendak peminat,” kata mahasiswa luar kampus jurusan komunikasi massa, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *