Kosmo: Alternatif baharu Prema Yin

Alternatif baharu Prema Yin

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

 

FIGURA ini mengakui dia begitu meluahkan perasaannya menerusi single terbaharunya, Second Best.

 

NAMA Prema Yin jika mahu dihitung bukan nama baharu dalam industri muzik tempatan. Pada awal kemunculan wanita berusia 27 tahun ini, dia pernah dilanda kontroversi hebat kerana klip video single, Menarilah.

Ramai yang tidak dapat menerima tarian seksinya bersama aktor Shahrizal Jaszle menyebabkan dia dikritik hebat oleh masyarakat.

Bagaimanapun, Prema Yin Ranee atau lebih mesra disapa sebagai Prema, merupakan seorang yang tidak mudah mengalah.

Selepas isu tersebut reda dan namanya seperti hampir tenggelam, Prema tiba-tiba muncul kembali.

Kemunculannya kali ini juga tampak berani apabila hadir dengan sebuah album mini berjudul Redefined. Ia mengandungi sebanyak lima buah lagu iaitu 100%, Mexico, Second Best, Ring My Bell dan duet bersama Narmi, Just With You.

Bercakap mengenai lagu-lagu yang terkandung di dalam album tersebut, Prema memilih Second Best sebagai lagu yang paling dekat dengan dirinya.

“Second Best merupakan sebuah lagu yang beremosi dan saya akui, ia merupakan apa yang saya pernah rasa suatu ketika dahulu. Ketika itu, saya masih ingin mencari haluan diri saya serta karier nyanyian yang diceburi ini. Justeru, saya luahkan perasaan itu menerusi single ini. Siap semuanya, baru saya sedar bahawa itu memang merupakan perasaan saya yang sebenar.

“Lagu ini muncul kerana ketika itu saya dapat rasakan apa yang saya lakukan untuk karier nyanyian ini tidak pernah bagus.

“Saya sangat berusaha, namun tidak memperoleh apa yang saya inginkan. Saya rasa, sebagai manusia mungkin semua orang punya perasaan sedemikian,” cerita Prema.

PREMA kini muncul dengan album mini berjudul, Redefined.

 

Ingin bebas

Jika dahulu dia terikat dengan syarikat label, namun kini tutur Prema dia lebih selesa bergerak secara indie.

Bicaranya lagi, jika bergerak secara indie, dia lebih bebas dan jujur dalam meluahkan perasaan melalui penulisan dan penggubahan lagu.

“Saya hormat dengan artis indie seperti Hujan, Yuna dan ramai lagi kerana berjaya menaikkan nama mereka bukan sahaja dalam industri tempatan, malah ke tahap antarabangsa. Ini kerana, ia bukan perkara yang mudah untuk mencapai tahap sedemikian.

“Sejujurnya, saya sentiasa mahu menulis lagu seperti apa yang saya lakukan kini iaitu yang sebati dengan diri saya. Oleh itu, saya keluar menjelajah dan memberi hiburan kepada orang ramai. Ini kerana, kadang-kadang saya rasa ingin membuat sesuatu yang berbeza,” luahnya.

Sehubungan itu, dia telah tampil dengan sebuah webisode yang menunjukkan dirinya seperti penghibur jalanan.

“Saya telah pergi ke kampung Orang Asli iaitu Kampung Jentung, Sungkai, Perak untuk memberi hiburan kepada mereka. Walaupun hanya berada di sana selama sehari, namun mereka sangat memberi inspirasi kepada saya. Saya sangat gembira dan ia merupakan suatu pengalaman yang menarik buat diri saya.

“Selain itu, saya juga ada membuat basking di KTM laluan Kuala Lumpur-Seremban dan ketika itu berasa sedikit gementar kerana fikirkan reaksi orang ramai terhadap saya.

“Bagaimanapun, apa yang saya lihat ketika itu, ternyata persembahan saya sedikit sebanyak menyegarkan mereka yang mungkin kebosanan menunggu kereta api tiba,” jelasnya teruja ingin meneruskan projek tersebut.

Menurutnya, dia akan melakukan lebih banyak lagi siri basking dalam webisode yang akan ditayangkan dalam laman web rasminya iaitu www.premayin.com.

Webisode yang berjudul In My Own Words itu bakal ditayangkan sebanyak 10 episod dengan setiap satu episod baharu akan dikeluarkan pada setiap bulan.

 

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz2gvamZ5cJ
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *