Berita Harian – Tuah Eyo Eyo

Interview on Berita Harian for AIM 17
Here the Link, and below the full article!

Thanx BH!!!

Love the Pictures!!!

<strong>PREMA kini lebih bersemangat untuk menghasilkan  lagu.</strong>

Tuah Eyo Eyo
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/04/23

PREMA kini lebih bersemangat untuk menghasilkan lagu.

Prema Yin tak sangka berjaya melangkah ke final Anugerah Industri Muzik walaupun baru muncul dengan sebuah album

TIADA kata yang dapat menggambarkan perasaan penyanyi baru, Prema Yin, apabila album pertamanya mendapat pengiktirafan penggiat seni tanah air menerusi empat pencalonan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-17 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, 2 Mei ini.

Selain dirinya sendiri yang dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori Artis Baru Terbaik, bersama-sama Tomok, Yuna, Bunkface dan Azlan & The Typewriter, albumnya yang diberi judul Eyo Eyo turut dicalonkan dalam kategori Rakaman Album Terbaik. Lagu Eyo Eyo pula dicalonkan untuk merebut trofi Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu, manakala video lagu itu bersaing dalam kategori Video Muzik Terbaik. “Ia perasaan yang begitu sukar hendak digambarkan. Saya berasa sungguh diberkati, pada masa yang sama saya amat gementar. Pencalonan ke peringkat akhir AIM17 sememangnya pencapaian yang begitu menakjubkan buat artis yang baru muncul dengan sebuah album seperti saya,” kata Prema.

Pada malam kemuncak nanti, sudah tentulah Prema tidak akan melepaskan peluang bersama-sama penggiat seni lain meraikan anugerah yang mengiktiraf karya terbaik dalam industri muzik. Apatah lagi dia sendiri akan menaiki pentas sebagai penyampai trofi pada acara yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang itu.

Pada ketika ini, kata Prema, dia tidak lagi berkira fasal menang atau kalah kerana pencalonan ke peringkat akhir saja sudah begitu bermakna buat dirinya.

“Sudah tentulah keinginan untuk menjulang setidak-tidaknya sebuah trofi itu ada dalam diri. Namun saya tidak mahu terlalu berharap, menyedari calon Top 5 lain dalam semua kategori terbabit hebat belaka. Dapat duduk sebaris dengan mereka di Dewan Merdeka nanti pun sudah cukup memberikan erti amat besar dalam karier saya yang baru hendak bercambah,” ujarnya.
Lebih bermakna buatnya, kata gadis peramah ini, AIM17 bukan sekadar menjadi malam bersejarah buatnya sebagai artis, malah bakal muncul sebagai pengalaman sulung dirinya menghadiri majlis anugerah itu.

Mengenai pencalonan Eyo Eyo, satu-satunya lagu Melayu dalam album terbitan Greg Henderson itu, dalam dua kategori (susunan lagu dan video muzik) pada anugerah berprestij itu, Prema berkata, ia penghormatan amat besar buat dirinya.

<strong>PREMA turut tampil sebagai penyampai trofi pada  AIM17.</strong>

“Pencalonan pada AIM17 bagai memberikan semangat baru untuk saya terus menghasilkan lagu Melayu yang bermutu dan pada masa yang sama, memikat hati peminat.

“Saya sendiri sebenarnya cukup berminat menyanyikan lagu Melayu, namun peluang untuk berbuat demikian nampaknya belum benar-benar tiba. Jadi, untuk projek akan datang, saya berasakan lebih banyak lagu Melayu akan saya cipta dan nyanyikan,” katanya.

Tak sabar mula projek kedua

KETIKA artikel ini ditulis, adik kepada pemain hoki Keevan dan Logan Raj ini dalam proses menyiapkan rakaman lagu pertama untuk projek seterusnya.

“Eloklah saya mulakan projek kedua ini segera, sebagai kesinambungan dan susulan kepada pencalonan dalam AIM17. Namun saya belum pasti sama ada ia akan diterbitkan dalam bentuk album penuh, album mini mahupun single terlebih dulu. Belum ada perancangan khusus buat waktu ini,” jelasnya.

Begitupun, sudah tentu Prema berharap dia berupaya menerbitkan sebuah album penuh, apatah lagi pada kali ini dia bekerja sama bersama kumpulan muziknya, Monday Nine, dalam kerja penghasilannya. Lalu, projek kedua itu katanya, akan tampil berbeza dengan album pertama yang menyaksikan kesemua irama adalah hasil tangannya sendiri.

Kali ini, menurut Prema, konsepnya lebih terkini, lebih segar dan lebih banyak memuatkan lagu yang berentak rancak.

“Selain menulis sendiri lagu terbabit, saya sebenarnya mengalu-alukan juga karya komposer lain. Jika irama yang mereka hasilkan dilihat sesuai dengan konsep saya tampilkan, sudah tentu saya akan memberikan mereka segala ruang untuk sama-sama terbabit dalam projek itu,” tegas penyanyi dan pencipta berusia 24 tahun ini.

Sambil berharap penghasilan terbarunya juga akan diterima baik peminat, artis yang mula mencipta lagu sejak berusia 14 tahun ini berkata, tahun 2010 memberikan isyarat cukup baik dalam karier muziknya.

Bermula dengan perkhabaran gembira pencalonan album Eyo Eyo ke peringkat akhir dalam beberapa kategori pada AIM17, serta pembabitan kumpulannya sendiri dalam projek rakaman seterusnya, Prema juga cukup teruja apabila diundang mengadakan persembahan di Jepun, September nanti.

“Walaupun saya pernah mengadakan persembahan di luar negara ketika menyertai kumpulan lain, namun kali ini maknanya cukup berbeza apabila saya bakal tampil bersama kumpulan sendiri,” katanya.

Bagi peminat Prema, usah lupa menonton kemunculannya pada AIM17 pada 2 Mei ini, di Dewan Merdeka PWTC. Rancangan itu akan disiarkan secara langsung oleh ntv7 mulai jam 8.30 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *