Article in myMetro on our Music Video Director Gambit (Malay)

Tak kenal ramai orang

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

LIMA tahun menceburi bidang seni, nama pelakon Gambit Saifullah sudah dikaitkan dengan pelbagai gosip dan kontroversi yang sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya.

Sikap Gambit, 26, yang pendiam, suka menyendiri dan kurang bercampur dengan rakan seperjuangan menyebabkan ramai orang yang salah tafsir mengenai prinsip dirinya.

Malah, ada pihak yang mendakwa dirinya sombong dan ‘kekwat’. Lebih memburukkan keadaan, Gambit juga dikatakan sukar didekati atau tidak mesra media hingga boleh dikira wartawan yang selesa menemubualnya.

Ketika diminta mengulas isu dirinya yang tidak mesra media itu, pemilik nama sebenar Mohd Saifullah Rosli nampaknya tenang dan tidak cepat melatah dengan cakap-cakap negatif orang itu.

“Sebagai artis baru, saya akui memang tak kenal ramai orang. Takkanlah saya nak buat PR dengan orang selama 24 jam setiap hari. Ada masanya, mood saya pun tak okey dan saya pun ada perasaan nak marah juga.

“Saya memang jenis yang tak cakap banyak, kalau ada topik yang menarik barulah saya bercakap. Saya juga memang malas nak layan soalan yang remeh seperti ada yang tanya soalan saya ni gay ke tidak,” katanya.

Gambit mengakui, berjumpa dengan ramai orang setiap hari. Bukan saja rakan artis, malah wakil media tempatan.

“Kalau anda yang nak tahu, ramai juga artis dalam industri hiburan yang saya tak kenal. Contohnya, saya pernah menghadiri satu majlis dan saya tak perasan pun yang menegur saya itu adalah pelakon Sharifah Amani dan ibunya. Selepas saya pandang betul-betul, barulah saya tahu itu adalah Amani dan barulah saya menegur mereka,” katanya.

Apa yang penting, kata pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini, dia percaya tidak ada masalah dengan sesiapapun setakat ini. Katanya, dia berkawan dengan orang tanpa mengira pangkat dan harta seseorang itu.

“Saya ingin mohon maaf kalau ada wartawan yang sensitif apabila saya tak menegur mereka ketika terjumpa dengan saya di luar. Mungkin itu kelemahan dan kekurangan saya.

“Maklumlah, ada ramai wartawan yang pernah saya jumpa sebelum ini dan bukan semua wartawan yang saya ingat wajah mereka,” katanya.

Apa pun tanggapan orang padanya, Gambit yang memiliki syarikat, Eightball Production Sdn Bhd sebenarnya seorang yang sangat fokus pada karier seninya. Anak muda yang cukup mengagumi Que Haidar dan Beto Qushairy ini turut mengakui terpaksa menolak banyak tawaran berlakon sejak kebelakangan ini.

“Selain lebih selektif dalam pemilihan karakter, saya juga tidak ada masa terluang kerana sibuk menerbitkan video muzik untuk artis baru Prema Yin.

“Terus terang, saya memang banyak buat kerja penerbitan muzik video sekarang. Saya berasa puas kerana melakukan perkara yang saya minat. Sementara menanti tawaran berlakon yang bagus, apa salahnya saya buat kerja penerbitan muzik video dulu,” katanya.

Tegas Gambit, dia juga lebih suka buat telefilem berbanding drama bersiri kerana ia lebih cepat habis berbanding drama bersiri yang membabitkan tempoh berbulan-bulan.

“Saya sedar, saya bukan artis yang sangat komited untuk buat projek yang lama seperti itu kerana saya jarang sangat bersabar dengan benda-benda macam itu.

“Apapun, minat saya memang sangat mendalam dalam karier seni dan kalau cerita dan pasukan produksi yang bagus, saya takkan menolak untuk berlakon
dalam projek drama bersiri,” katanya.

Kata Gambit, dia tidak sabar menanti filem terbaru lakonannya, Karipap-Karipap Cinta menjengah pawagam seluruh tanah air kelak.

“Saya akui kita jarang dapat skrip yang bagus seperti Karipap-Karipap Cinta arahan Othman Hafsham itu. Justeru, saya memang tidak dapat menolak apabila ditawarkan berlakon dalam filem itu.

“Pada mulanya, saya sendiri tidak setuju dengan judul filem itu tapi saya dapat tahu ia sebenarnya mempunyai ‘double meaning’. Pada hari pertama di lokasi penggambaran, saya memang berdepan dengan tekanan untuk menjiwai watak utama diserahkan dalam filem itu.

“Apatah lagi, ada suara sumbang di lokasi, saya tidak boleh jadi hero. Abang Hafsham juga bimbang jika saya tak dapat melakonkan watak itu dengan baik.

“Namun, apabila saya lepak bersama abang Hafsham, kami terus menjadi akrab dan berjaya menjiwai watak diserahkan seperti dikehendaki pengarah,” katanya.

Selain filem Karipap-Karipap Cinta, Gambit turut berlakon dalam Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki dan Hantu Bukit China arahan Liza Ismail. Tidak ketinggalan, telefilem lakonannya iaitu Belukar, Ruang Rindu, Gincu, Alin ke Alien, Misteri Datin Lily dan banyak lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *